KOTA BHARU – Kekurangan diri tidak menghalang Abdul Hakim Saifuddin Zulkifli, 7, yang merupakan seorang penghidap penyakit cerebral palsy untuk memasuki sesi persekolahan tahun satu hari ini.
Lebih menarik perhatian, Abdul Hakim menggunakan kereta mainan sebagai alat bantuan untuk bergerak semasa di sekolah.
Ibunya, Siti Fatimah Nurul Naim Hussin, 45 berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu teruja apabila bangun seawal pukul tiga pagi untuk ke sekolah sebelum diminta untuk tidur semula selepas bersiap.
“Dia amat teruja untuk memasuki tahun satu sejak dua minggu lalu apabila hampir setiap hari bertanya mengenai tarikh hari pertama sekolah.
“Abdul Hakim sudah menunjukkan minatnya untuk menimba ilmu sejak berada di tadika lagi. Dia juga merupakan antara murid yang jarang tidak hadir ke kelas. Demam pun dia masih mahu ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1, di sini hari ini.
Siti Fatimah memberitahu, penggunaan kereta mainan itu merupakan inisiatifnya untuk memudahkan pergerakan Abdul Hakim semasa bersekolah tadika.
Menurutnya, penggunaan kereta mainan itu dilihat lebih efektif sekali gus memberi keselesaan kepada anaknya untuk bergerak dan membuat aktiviti bersama rakan-rakan.
“Saya guna kaedah ini sejak tadika lagi. Ia membolehkan Abdul Hakim bergerak laju, selesa dan lebih selamat berbanding menggunakan papan luncur
“Ia membolehkan anak saya bermain bola bersama rakan-rakannya di tadika. Kami ketika ini sedang menunggu kerusi roda yang dibuat khas mengikut ukuran badan dan spesifikasi ditetapkan oleh doktor pakar yang dijangka diperoleh pada minggu depan,” katanya.
Menurut Siti Fatimah, anak bongsunya itu dilihat cenderung kepada bidang keagamaan apabila sering solat berjemaah di masjid dengan ditemani abangnya Ahmad Sulaiman yang kini berada dalam tahun enam di sekolah sama.
“Abdul Hakim juga seorang yang sangat berdikari dan tidak berdepan masalah daripada sudut pengurusan emosi. Sejak dia kecil, saya sudah bisikkan kata-kata semangat kepada dia dan sering mengingatkan bahawa semuanya adalah anugerah Allah SWT.
“Saya juga amat gembira apabila guru besar SK Ismail Petra 1, Mohd. Fauzi Ismail berusaha memastikan sekolah dilengkapi kemudahan bersesuaian untuk anak saya dalam masa dua minggu sekali gus merubah sekolah ini menjadi mesra orang kelainan upaya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE