KLUANG – Seorang jurukimpal maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika melakukan kerja pemasangan paip dalam kejadian di kilometer 41.5 Jalan Jalan Kluang – Teck Wah Heng, berhampiran Ladang Bukit Benut, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika mangsa, Rostam Amiruddin Hassan, 59, sedang melakukan kimpalan terhadap batang besi paip air berkedalaman 1.8 meter bersama dua rakan sekerjanya.
Katanya, ketika melakukan kerja-kerja kimpalan, tebing parit tempat meletakkan batang besi paip air itu dipercayai runtuh secara tiba-tiba sebelum menimbus mangsa.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah tersepit dengan batang besi paip air berkenaan menyebabkannya meninggal dunia.
“Dua rakan sekerjanya yang turut sama berada di tempat kejadian bagaimana pun sempat menyelamatkan diri,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Nik Mohd Azmi lagi, pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dan kematian diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).
“Mayat kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris,” katanya
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba, Nizar Mamun berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 petang, satu jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Mangsa dikeluarkan dengan bantuan sebuah jentolak bagi kerja kerja pengalihan runtuhan tanah. Mangsa telah disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE