PAPAR – Sebanyak 450 lokasi ditetapkan sebagai lokasi Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan secara berjadual di seluruh negara.
Dilaksanakan di bawah Agenda Payung Rahmah Madani, PJR Ramadan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga di antara 10 hingga 30 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara barangan ditawarkan termasuklah ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut selain beras dan telur.
“Bekalan produk yang terlibat pada jualan murah ini juga melibatkan kerjasama daripada agensi Kerajaan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Usaha ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Jualan Rahmah di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Sabah harini.
Mengulas lanjut, Armizan menyatakan pelancaran PJR Ramadan berkenaan akan dilaksanakan di Putrajaya pada hari pertama bulan Ramadan.
“Orang ramai boleh menyemak melalui pautan laman sesawang rasmi KPDN bagi mengetahui lokasi PJR sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Sementara itu, Armizan memaklumkan pihaknya turut bakal melancarkan Program Bazar Ramadan yang akan diumumkan secara lebih terperinci seterusnya dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh. – KOSMO! ONLINE