fbpx

250 murid SK Pida Tiga disambut iringan muzik tradisional gendang silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid SK Pida Tiga di Tunjang, dekat Jitra disambut dengan muzik tradisional gendang silat Kumpulan Gendang Warisan Pak Din Johan Kampung Kota Siputeh pada hari pertama persekolahan, hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

JITRA – Seramai 250 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Tunjang dekat sini ceria apabila kehadiran mereka pada hari pertama persekolahan bagi sesi 2024/2025 disambut dengan iringan muzik tradisional gendang silat.

Kalangan guru termasuk Guru Besar SK Pida Tiga, Zamri Abdul Majid menyambut kedatangan murid seawal pukul 7 pagi tadi.

Semua murid daripada peringkat prasekolah hingga darjah enam kemudian diarak secara berkumpulan ke tapak perhimpunan sekolah dengan iringan muzik tradisional oleh Kumpulan Gendang Warisan Pak Din Johan Kampung Kota Siputeh.

Bermacam-macam ragam murid terutama murid prasekolah dan darjah satu dapat dilihat antaranya teruja bertemu rakan, ada yang menguap kerana terpaksa bangun seawal pukul 5.30 pagi, selain yang menangis sambil memanggil ibu.

Menurut Zamri, persembahan muzik tradisional menggunakan gendang, gong, serunai dan tamborin itu berjaya mewujudkan suasana ceria pada hari pertama persekolahan.

“Kita mahu menyahut seruan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk melahirkan suasana murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Selain itu, minggu ini juga tiada pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang mana pihak sekolah akan mengadakan aktiviti menjurus kepada kemesraan hubungan antara guru dan murid serta komuniti,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di sini hari ini.

Katanya, persembahan tersebut juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan muzik dan peralatan tradisional kepada murid sekolah.

Murid darjah satu, Fasihah Imani Mohd. Sobri berkata, dia tidak sabar untuk datang ke sekolah hari ini kerana sudah lama tidak berjumpa rakan.

“Bila datang ada muzik gendang silat, rasa seronok macam pergi kenduri,” katanya.

Seorang lagi murid darjah satu, Nur Dayana Fadli berkata, dia bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana rasa teruja mahu ke sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI