KUALA LUMPUR – Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melengkapkan gelaran trebel musim ini selepas merangkul kejuaraan Piala TNB sebentar tadi.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu membenam cabaran juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerusi kemenangan 4-2.
Perlawanan berlangsung dalam keadaan cukup meriah dengan kehadiran penonton-penonton di stadium dan THT membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari pada minit keenam sebelum kembali disamakan TNB 13 minit kemudian hasil gol Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.
Tersentak dengan gol tersebut, THT memperkemaskan permainan dan sekali lagi berada 2-1 di depan hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-21), namun kembali disamakan TNB menerusi pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun (m-22).
TNB yang merupakan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih musim ini tidak menoleh ke belakang lagi apabila menambah dua lagi gol menerusi jaringan Mughni Mohamad Kamal (m-33) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-36) bagi melengkapkan kemenangan 4-2.
Lebih manis, Azrai juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selain mengekalkan status sebagai penjaring terbanyak menerusi 32 gol yang dijaringkan sepanjang saingan musim ini.
Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung petang tadi, Maybank menewaskan UiTM HA-KPT 2-1 menerusi penentuan shootout selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sepanjang 60 minit waktu sebenar perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Maybank berjaya mempertahankan kedudukan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik dalam saingan Piala TNB selepas turut menewaskan lawan sama pada aksi penentuan musim lalu.
Dalam kategori wanita pula menyaksikan pasukan Liaoning dari China membawa pulang trofi Piala Vivian May Soars selepas menang 3-0 ke atas Malaysian University (MU) menerusi penentuan shootout selepas terikat seri 1-1.
Kekalahan dialami MU itu sekali gus meleburkan hasrat mereka untuk meraih gelaran trebel musim ini memandangkan mereka sudah pun memenangi Piala Sumbangsih selain muncul juara liga.
Tempat ketiga pula menjadi milik PDRM Blue Warriors yang berjaya membenam juara bertahan, Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0. – KOSMO! ONLINE