LENGGONG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Lenggong Geopark sekali gus terus mengangkat serta memajukan kawasan itu yang telah dihuni manusia sejak ribuan tahun lalu.
Baginda juga berkenan merasmikan Galeri Lenggong Geopark yang terbuka untuk orang ramai bagi mendapatkan maklumat perkembangan sejarah Lenggong.
Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian itu diadakan di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Nik Nazmi berkata, kementeriannya selaku Peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memberi sokongan penuh terhadap usaha pembangunan geopark di dalam negara.
“Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan industri pelancongan negara serta memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi
masyarakat, khususnya di daerah Lenggong,” katanya semasa sembah ucapan dalam majlis itu.
Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta lokasi Geopark Kebangsaan pada 2021. Kini lokasi sejarah itu juga dalam perancangan mendapatkan status UNESCO Global Geopark pada tahun 2025.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Galeri Lenggong Geopark telah berjaya menarik perhatian dan minat orang ramai di mana sejak dibuka secara tidak rasmi pada 16 Disember 2023, telah merekodkan 2,500 pengunjung sehingga Februari 2024.
Sementara itu, Saarani berkata, Lenggong Geopark yang berkeluasan 2,068 kilometer persegi menyenaraikan 27 produk geotapak, lapan biotapak, sembilan tapak geoarkeologi dan 18 tapak budaya dan sejarah. – KOSMO! ONLINE