fbpx

Sukhrob Nurulloev perkuat bahagian tengah KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sukhrob Nurulloev (dua dari kanan) disambut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin dan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain sebaik tiba di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan pemain import pertama bagi musim ini apabila menandatangani kontrak dengan Sukhrob Nurulloev.

Pemain tengah berusia 26 tahun dan berasal dari Quraqul, Uzbekistan itu dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan pemain sayap dari Argentina, Manuel Hidalgo.

KDA FC memaklumkan, Sukhrob yang pernah bermain bersama pasukan kebangsaan Uzbekistan bawah 23 tahun itu akan bersama Sang Kenari selama satu musim.

“Pemain ini diikat selama setahun bagi mengisi bahagian serangan sayap pasukan KDA FC musim ini. Beliau mampu beraksi sama ada kanan dan kiri, memberi sedikit kelebihan dalam mencatur taktikal perlawanan buat Nafuzi Zain.

“Pernah beraksi bersama skuad muda bawah 20 tahun dan bawah 23 tahun Uzbekistan, kelab asal Sukhrob adalah Nasaf FC,” katanya di sini, hari ini.

Selain Hidalgo, lapan lagi pemain import Kedah yang membawa haluan masing-masing ialah Ifedayo Olusegun; Bojan Ciger; Moses Atede; Manuel Ott; Amirbek Juraboev; Ebenezer Assifuah; Alan Robertson dan Jonatan Balotelli.

Sementara itu, KDA FC turut membawa kembali tiga pemain yang pernah bersama skuad Hijau Kuning sebelum ini antaranya Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria.

Bekas pertahanan Negeri Sembilan, Zamri Pin yang berasal dari Kulim, dekat sini turut dibawa untuk menabur bakti kepada negeri kelahirannya.

KDA FC yang memulakan latihan pra-musim sejak tiga hari lalu juga mengekalkan enam pemain tempatan serta menyambung kembali kontrak lapan tonggak pasukan itu.

Pasukan itu masih bergelut dengan tunggakan gaji pemain serta pegawai musim lalu dan diberi tempoh untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus sebelum 15 Mac ini dan penyelesaian penuh pada 29 Mac. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI