JAKARTA – Seorang lelaki akan mengagihkan sumbangan orang ramai yang diterima sebagai ganjaran jika dia membersihkan sebuah kawasan perkuburan kepada tiga isterinya, lapor portal berita Suara.com hari ini.
Rochmadi, 59, bekerja sebagai penjaga kubur di Kota Semarang, Jawa Tengah dan rezekinya bertambah setiap kali menjelang Ramadan.
Ini kerana ramai orang Islam menziarahi kawasan perkuburan dan mereka memberikan sumbangan ikhlas kepadanya disebabkan menjaga makam orang tersayang.
Lelaki itu mengaku ‘poketnya’ akan berisi disebabkan sumbangan ikhlas orang ramai kerana membersihkan kubur kaum keluarga mereka.
Pada tahun lalu, dia mendapat pendapatan sebanyak 25 juta rupiah (RM7,536) menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Wang itu dibahagikan untuk isteri pertama sebanyak 3 juta rupiah (RM904). Isteri kedua, 5 juta rupiah (RM1,507) dan bakinya untuk isteri ketiga,” katanya yang bekerja sebagai penjaga kubur selama 25 tahun.
Pada hari-hari biasa, dia hanya memperoleh pendapatan 300 ribu rupiah (RM90.44) sebulan. – AGENSI