fbpx

MOTAC rai pengamal media, jalin kerjasama martabatkan industri pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing menghadiahkan kuntuman bunga kepada pengamal media sempena Hari Wanita Sedunia pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024 di Sunway Resort Hotel, malam tadi. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus bekerjasama dengan media untuk memartabatkan industri pelancongan Malaysia ke persada global.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerjasama yang erat antara kerajaan dan pengamal media sangat penting terutamanya dalam menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 akan datang.

“Dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 dan beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025), Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025, serta yang paling penting sekali Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), kami menaruh harapan untuk mencapai pencapaian yang lebih tinggi.

“Dengan bantuan dan sokongan daripada media, kami yakin bahawa kita boleh bersama-sama mencapai matlamat yang lebih besar dalam mempromosikan keindahan dan keunikan destinasi pelancongan negara kita kepada dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024 bertempat di Sunway Resort Hotel, di sini malam tadi.

Tambah King Sing, tahun 2024 bakal menjadi tahun bermakna untuk negara dan bakal dianggap sebagai ‘Tahun Warisan’.

“Dengan bangganya saya ingin berkongsi dengan anda, tahun ini tiga warisan dari Malaysia telah tersenarai dalam senarai calon pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia.

“Antaranya, Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak sebagai calon yang layak diiktiraf sebagai Warisan Dunia,” katanya.

King Sing berkata, Kebaya Malaysia yang dimohon bersama negara jiran Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand juga telah disenaraikan sebagai calon warisan budaya kemanusian UNESCO Intangible Cultural Heritage.

“Pencalonan Budaya Sarapan Malaysia termasuk Nasi Lemak juga merupakan usaha kementerian untuk memastikan makanan tradisi rakyat diangkat sebagai Makanan Warisan Kebangsaan Malaysia dan tidak akan dituntut oleh negara lain,” katanya.

Semalam, hampir 1,000 pengamal media diraikan pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024.

Dalam majlis sama, King Sing turut meraikan kaum Hawa dengan menghadiahkan kuntuman bunga kepada semua wanita sempena Hari Wanita Sedunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI