fbpx

Liaoning lebur impian trebel Malaysian University

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Liaoning meraikan kejayaan menjuarai Piala Vivian selepas menewaskan Malaysian University 3-0 menerusi penalti shoot-out pada final di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysian University untuk menyapu bersih tiga trofi dipertandingkan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita 2024 tidak kesampaian selepas tewas kepada Liaoning Women’s Hockey Team di pentas final Piala Vivian May Soars sebentar tadi.

Malaysian University terpaksa akur meraih naib juara kejohanan itu selepas tewas 0-3 menerusi penentuan penalti shoot-out setelat kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 60 minit permainan pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Biarpun gagal merealisasikan impian bergelar juara trebel, namun ketua jurulatih Malaysian University, Lailin Abu Hassan tetap gembira dan berpuas hati dengan keseluruhan prestasi ditampilkan anak-anak buahnya dalam aksi final itu.

“Pemain telah berikan segala-galanya dalam perlawanan ini. Mereka mencipta beberapa peluang, tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan.

“Saya gembira dengan reaksi pemain yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan terlebih dahulu sehinggalah berjaya mendapatkan penalti stroke untuk menyamakan kedudukan.

“Walaupun tewas kepada Liaoning menerusi penentuan penalti shoot-out, tetapi saya gembira kerana sekurang-kurangnya kami berjaya meraih dua daripada tiga piala dipertandingkan untuk musim ini,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.

Malaysian University yang turun selaku juara berganda selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan MHL 2024, bolos terlebih dahulu kepada Liaoning menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Wang Lihang pada minit ke-45.

Malaysian University bangkit mengikat kedudukan melalui penalti stroke yang disempurnakan oleh Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit ke-55.

Bagaimanapun, Malaysian University terpaksa akur dengan kemampuan para pemain Liaoning yang berjaya menyempurnakan tiga penalti shoot-out menerusi Wang Libin, Wang Lihang dan Li Jiaqi.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Liaoning menjuarai Piala Vivian selepas pernah dinobatkan sebagai pemenang bersama Terengganu Ladies ketika kali pertama mengambil bahagian pada edisi 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI