fbpx

Kanak-kanak hidap kanser lidah teruja masuk darjah satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. RAFIZAL menunjukkan foto terkini Muhammad Rizqi yang akan memasuki persekolahan selepas menjalani pembedahan akibat kanser lidah.

MERSING – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang merupakan pesakit kanser lidah tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan esok.

Bapanya, Mohd. Rafizal Moosa, 46, berkata, anak bongsunya, Muhammad Rizqi Hafazan begitu bersemangat kerana selama ini tidak berkesempatan untuk mengikuti sesi pembelajaran di tadika.

Kata lelaki itu, anaknya disahkan menghidap kanser lidah sejak lahir dan disebabkan masalah kesihatannya tersebut, dia tidak dapat ke sekolah lebih awal seperti kanak-kanak lain.

Muhammad Rizqi mengalami pembesaran lidah sejak bayi dan keadaannya bertambah sukar apabila lidahnya tidak lagi dapat dimasukkan ke dalam mulut selepas mengalami demam.

“Alhamdulillah Muhammad Rizqi sudah menjalani pembedahan lidah tahun lepas, namun masih lagi menerima rawatan setiap tiga bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Dia memang teruja untuk ke sekolah. Anak saya akan ditempatkan dalam kelas seperti kanak-kanak normal lain. Saya yakin dia boleh belajar seperti rakan-rakannya.

“Sebelum ini memang keadaannya nampak teruk, alhamdulillah selepas menjalani pembedahan kesihatannya semakin baik.

“Sebagai bapa saya memang gembira kerana dapat lihat Muhammad Rizqi ke sekolah membesar seperti mereka yang seusia dengannya,” katanya ketika ditemui pada Program Back To School anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Mersing di Balairaya Kampung Penyabong di sini.

Muhammad Rizqi yang menetap di Kampung Semaloi, Endau penghidap cystic hygroma pernah mendapat perhatian apabila dikunjungi Menteri Kesihatan ketika berusia empat tahun susulan keadaan kesihatannya itu.

Pada program hari ini, seramai 20 pelajar yang kurang berkemampuan menerima sumbangan beg sekolah, set alat tulis dan pensel warna yang disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan merangkap Naib Presiden GPMS Negeri Johor, Azhar Datuk Zainal Abidin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI