SHAH ALAM – Empat pengurus syarikat masing-masing direman lima dan enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memberi sogokan berhubung kontrak bernilai lebih RM2.2 juta sejak 2017.
Tempoh reman ke atas mereka yang berusia 30 hingga 44 tahun itu dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan, Arif Danial Shah Shahril Noor di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati semua individu itu dispercayai memberikan suapan kepada pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2017 hingga tahun lalu.
“Suapan itu sebagai balasan atas pelantikan empat syarikat berkenaan sebagai kontraktor melibatkan kerja kontrak bernilai RM2,224,337,” katanya hari ini.
Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di mahkamah dengan dikawal ketat pegawai SPRM.
Suspek masing-masing diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mona Anak Leonard Lubon dan Salahuddin Salam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE