fbpx

K2

Buru kelah teknik ‘casting’ beri lebih kepuasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL AZIZ menunjukkan ikan kelah yang berjaya dipancingnya di salah satu sungai dalam taman negara.

BAGI kebanyakan kaki pancing, kepuasan sebenar yang dicapai adalah apabila berjaya menewaskan ikan diburu sama ada menggunakan teknik casting, bottom dan lain-lain.

Ini kerana, bukan mudah untuk memahirkan diri menggunakan teknik-teknik tersebut, apatah lagi apabila setiap ikan yang diburu memerlukan teknik pancingan berbeza.

Bagi seorang kaki pancing, Abdul Aziz Mat Ariff, 38, ‘kegilaannya’ terhadap teknik casting telah menyebabkan dia terjebak dengan misi memburu pelbagai spesies ikan sungai yang agak sukar diburu.

Malah, faktor kerjaya sebagai seorang juruteknik yang bertugas di Iyans Kalgoorlie, Australia menyebabkan dia terpaksa menggunakan masa dua minggu setiap bulan di Malaysia untuk melunaskan hobinya itu.

“Biasanya, ketika saya cuti selama dua minggu setiap bulan, saya akan pulang ke Malaysia dan tinggal bersama keluarga di Jerantut, Pahang.

“Ketika itulah saya menggunakan kesempatan untuk keluar memancing bersama rakan-rakan memburu pelbagai spesies ikan sungai.

“Antara spesies yang menjadi buruan saya termasuklah kelah, tengas kejar dan sebarau,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Abdul Aziz, antara lokasi yang kerap menjadi ‘port’ memburu ikan kelah adalah di sungai-sungai sekitar taman negara.

Antaranya, Sungai Keniam, Sungai Sat dan Sungai Sepia di Taman Negara di Jerantut, selain Sungai Endau di Taman Negara Endau Rompin di Johor.

ABDUL AZIZ lebih selesa memburu kelah menggunakan teknik
casting.

Namun katanya, bagi memasuki kawasan taman negara, dia akan mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Hutan dengan membayar permit masuk dan permit memancing di kawasan berkenaan.

Kebiasaannya, seorang pemancing hanya dikenakan sekitar RM100 untuk permit masuk ke taman negara dan permit memancing.

“Namun, ia bergantung kepada berapa malam kita berada di kawasan taman negara dan berapa banyak batang pancing dibawa.

“Cuma kos memancing di Sungai Sepia agak tinggi kerana kami terpaksa membayar kos bagi sewaan bot dan tekong.

“Kadangkala, bayaran yang perlu dikeluarkan adalah antara RM450 hingga RM1,200 bergantung kepada jarak lubuk.

“Semakin jauh sesuatu lubuk, maka semakin tinggi harga yang perlu dibayar kepada tekong,” jelasnya.

Bercakap mengenai teknik pancingan pula, Abdul Aziz berkata, kebiasaannya, dia akan menggunakan teknik casting dan bottom bagi memburu ikan-ikan tersebut.

Ujarnya, bagi ikan kelah merah, kelah biru serta tengas kejar, teknik yang popular digunakan adalah pancingan bottom dengan menggunakan umpan buah kelapa sawit.

Manakala, bagi ikan sebarau pula, ia lebih sesuai menggunakan teknik pancingan secara casting dengan umpan anak ikan hidup seperti seluang.

“Sebagai seorang peminat kaedah casting, saya lebih kerap menggunakan kaedah pancingan ini untuk memburu kelah.

“Ini kerana, kejayaan menewaskan kelah menggunakan teknik casting dianggap sebagai mendapat ‘lesen’ besar kepada seseorang pemancing.

“Ia juga sebagai pelengkap kamus casting bagi menewaskan ikan kelah yang dianggap raja sungai,” ujarnya.

Mengulas mengenai jenis umpan yang digunakan untuk memburu kelah, Abdul Aziz memberitahu, dia kerap menggunakan gewang jenis ‘heavy sinking minnow’ 50s.

Antaranya termasuklah gewang ‘Duo Spearhead Ryuki 51s’ kod warna metal red gold dengan berat 5.5 gram serta gewang ‘Bassday Sugar Minnow Bottom Twitcher Extra Sinking 50mm’, warna metal red gold dengan berat 5

gram.

“Sejak ‘gila’ memburu ikan sungai, saya pernah menaikkan sebarau seberat 3.2 kilogram (kg), tengas kejar 2.2kg dan kelah 2kg,” katanya.

Menariknya, semua ikan diperoleh dibawa pulang untuk dijadikan santapan ahli keluarga, selain turut diberikan kepada rakan-rakan dan jiran.

“Walaupun harga ikan kelah liar masih hidup boleh mencecah lebih RM1,000 bagi sekilogram, namun saya tidak pernah terfikir untuk menjualnya,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI