KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa mendedahkan ada mangsa penipuan pekerjaan di luar negara yang diselamatkan berkemungkinan menjadi ejen sindiket setibanya mereka di negara ini.
Siasatan awal polis mendapati, golongan itu turut mempengaruhi orang lain untuk mengikut mereka sebelum kembali ke luar negara semula.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menjalankan saringan sejurus kesemua mangsa tiba di negara ini.
Katanya, semakan mendapati jawapan yang diberikan mangsa seakan sama seolah-olah mereka sudah terlatih untuk menjawab soalan yang diajukan.
“Ada antara mereka pernah ke luar negara sebelum ini. Apabila dipanggil, soalan yang dijawab seolah-olah telah dilatih.
“Berdasarkan risikan, memang benar ada yang diselamatkan meyakinkan mereka untuk turut sama, dalam kata lain menjadi ejen rekrut kepada sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Libat Urus Pengarah JSJ bersama masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI, Brickfields di sini hari ini.
Tegas beliau, ada mangsa yang memberikan petunjuk kembali ke negara yang dikenal pasti terbabit aktiviti penipuan pekerjaan.
Sehubungan itu, Shuhaily menegaskan pihaknya telah menyediakan nota taklimat kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam membendung isu ini daripada terus berulang.
Tambah Shuhaily, seramai 16 mangsa penipuan setakat ini dikenal pasti dipercayai telah kembali ke luar negara.
“Kalau dia tidak terlibat dengan apa jua permasalahan, individu ini akan balik seperti orang biasa dan tiada kesalahan berlaku.
“Sekiranya ditangkap (jadi mangsa) di situ kita punya sangkaan tepat dan mereka boleh beritahu alibi apa yang mereka ada,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE