IPOH – Sebuah premis yang menjadi pusat pengumpulan minyak diesel disyaki bersubsidi di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 di Pusing dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) pada pukul 4 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 6,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel yang ditemui di dalam tangki IBC dan skidtank telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan melibatkan tangki tersebut, lori dan peralatan pam dianggarkan berjumlah RM70,380.
Menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil maklumat pasukan perisikan KPDN Perak selama seminggu ke atas penjejakan sebuah lori bonded yang disyaki sering kali melakukan pembelian minyak diesel di stesen-stesen minyak di sekitar Batu Gajah.
“Hasil penjejakkan yang dilakukan ke atas lori bonded ini telah membawa kepada penemuan lokasi sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel. Ketika serbuan dilakukan, lori bonded ini sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke sebuah skidtank di premis berkenaan.
“Semakan awal mendapati premis ini mempunyai permit menyimpan barang kawalan diesel sebanyak 2,000 liter. Pemeriksaan lanjut ke atas lori bonded ini juga telah menjumpai empat buah tangki IBC yang disyaki berisi cecair minyak diesel di dalam lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, seorang pemandu lori warga tempatan berusia 45 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, dipercayai sindiket itu bergerak aktif di sekitar Batu Gajah dan Ipoh, dengan modus operandi mereka ialah dengan bersubahat bersama pengusaha stesen
minyak.
Jelasnya, ia bagi membenarkan pemandu lori membuat pembelian minyak diesel dengan kuantiti yang banyak untuk menyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Lori bonded ini akan bergerak ke stesen-stesen minyak lain, kumpul dan kemudiannya memindahkan minyak diesel ini ke premis yang berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket ini kemudiannya akan menjual semula kepada pengguna industri dengan harga industri dan mengambil keuntungan berlipat ganda. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Beliau berkata, seseorang, selain dari badan korporat tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Manakala mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE