fbpx

Zii Jia akui banyak buat kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA gagal menepati ramalan untuk meneruskan kemaraan apabila tewas berdepan Johannesen pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

AKSI kurang meyakinkan ditampilkan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia ketika tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis awal pagi semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle, Paris itu, Zii Jia seolah-olah tidak dapat mengeluarkan permainan sebenar apabila tewas kepada pemain Denmark, Magnus Johannesen menerusi aksi straight-set 15-21, 19-21.

Pemain No. 10 dunia itu tanpa berselindung mengakui lawannya menampilkan aksi lebih baik sepanjang perlawanan tersebut selain dia gagal untuk mengawal gelanggang sehingga memberi kelebihan kepada Johannesen.

“Saya fikir Magnus (Johannesen) bermain sangat baik pada hari ini (semalam). Mungkin ketika perlawanan itu juga saya bermain agak kurang sabar selain melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

“Secara keseluruhan, saya tidak fikir saya berjaya mengawal gelanggang dan permainan. Pada set kedua, mungkin ada peluang untuk catat kemenangan, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada BWF selepas tamat permainan.

Untuk rekod, ini adalah kekalahan pertama Zii Jia kepada pemain No. 33 dunia itu dalam dua perlawanan selepas pertemuan sulung pada Terbuka Jerman tahun lalu memihak kepada Zii Jia.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut mengakui Johannesen menunjukkan progres yang cukup baik sejak pertemuan terakhir mereka tahun lalu, terutamanya dari segi corak pertahanan.

Sementara itu, turut tersingkir di pusingan pertama semalam adalah beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang tewas 21-18, 16-21, 12-21 kepada pilihan kelima dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI