LONDON – Sebuah rumah di Britain akan dilelong pada harga pembukaan cuma £5,000 (RM30,019) disebabkan alamatnya dianggap ‘menyeramkan,’ lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Rumah dua bilik tidur itu mempunyai alamat 66, Sixth Street, Peterlee, Durham. Alamat itu dianggap memiliki nombor 666 yang sinonim dengan syaitan.
Menurut kepercayaan masyarakat Barat, angka 666 merujuk kepada nombor syaitan.
Selain dua bilik tidur yang besar, rumah itu mempunyai bilik mandi bersaiz keluarga tetapi ia memerlukan banyak dekorasi.
Firma BP Auctions akan menutup bidaan kediaman tersebut pada pukul 12.20 pagi (waktu tempatan), 20 Mac ini.
Pada April tahun lalu, sebuah rumah dilengkapi dua bilik tidur dan mempunyai alamat nombor 666 di Pontiac, dalam negeri Michigan dijual pada harga murah hampir AS$39,000 (RM182,988). – AGENSI