BANGKOK – Seorang pemilik kedai mi berusia 49 tahun memulangkan semula wang 300,000 baht (RM39,608) kepada sekumpulan pelanggan warga China di Mueang, wilayah Chanthaburi, lapor portal berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku apabila kumpulan pelanggan tersebut secara tidak sengaja membayar 333,210 baht (RM43,993) untuk enam hidangan mi berharga cuma 210 baht (RM27.73) pada minggu ini.
Pelanggan China itu memindahkan bayaran tersebut melalui platform perbankan mudah alih kepada pemilik kedai, Samart Wongnapa.
Setelah menerima pemberitahuan tentang pembayaran, Samart segera mengesan kesilapan itu.
Tanpa teragak-agak dia menghubungi pelanggan China itu, memaklumkan kesilapan yang berlaku dan menyatakan hasrat untuk memulangkan lebihan bayaran.
Pelanggan-pelanggan terbabit yang terkejut dengan kejujuran dan integriti Samart, menawarkan ganjaran 1,000 baht (RM132.03) tetapi Samart menolaknya. – AGENSI