fbpx

MITI, MIDA bantu penempatan pekerjaan kakitangan Goodyear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Goodyear mengambil keputusan menutup kilang pembuatannya berkuatkuasa 30 Jun depan.

PETALING JAYA – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menggerakkan pasukan khas untuk memudahkan penempatan pekerjaan serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi kakitangan Goodyear yang terjejas.

Menurut MIDA dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah terlibat secara aktif dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Fasilitasi Invest Malaysia yang baharu ditubuhkan bagi memudahkan bantuan penempatan kerja untuk pekerja dari pelbagai sektor.

“Mekanisme sokongan sama boleh diperluaskan kepada mereka yang terjejas disebabkan penutupan loji Goodyear di Shah Alam, menunjukkan pendekatan komited terhadap pengukuhan daya tahan dan peralihan tenaga kerja,” katanya.

Goodyear sebelum ini mengumumkan penutupan fasiliti pembuatannya di Shah Alam berkuatkuasa 30 Jun depan, yang akan menjejaskan seramai 550 pekerjanya di negara ini.

Jelasnya, ia sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.69 bilion) menjelang 2025 bagi memastikan kumpulan tersebut kekal berdaya saing.

MIDA berkata, sebelum pengumuman berkenaan, pihaknya bersama MITI dan Goodyear telah mengadakan dialog strategik secara berterusan yang memperlihatkan ketersediaan bersama bagi memastikan penutupan itu sejajar dengan objektif yang lebih luas.

“Goodyear bersama para pemegang sahamnya telah berkoordinasi rapat dengan kerajaan sebelum keputusan ini dihebahkan, serta bekerja dengan gigih untuk menubuhkan rangka kerja sokongan untuk pekerja.

“Kerjasama awal ini menunjukkan komitmen kolektif kami terhadap kesejahteraan tenaga kerja dan menggariskan bahawa usaha untuk membantu pekerja yang terjejas dijalankan dengan pandangan jauh dan bertanggungjawab,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI