fbpx

Kenyataan fitnah: Bekas Setiausaha Politik Anwar saman Ketua Armada Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Fayhsal.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung satu kenyataan fitnah di pekarangan Parlimen, tahun lalu.

Farhash Wafa selaku plaintif yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memfailkan saman tersebut dengan menamakan Wan Ahmad Fayshal sebagai defendan menerusi firma guaman, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co pada 22 Januari lalu di Mahkamah Tinggi, di sini.

Berdasarkan penyataan tuntutan, plantif mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenai Farhash Wafa di pekarangan Parlimen pada 14 November 2023.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu didakwa dengan jelas merujuk jelas kepada Farhash Wafa dan turut menggambarkan plaintif kononnya telah menawarkan rasuah atau mengugut ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa.

Plaintif turut mendakwa kenyataan yang dibuat defendan telah memberi gambaran bahawa beliau telah bersekongkol dan memberi arahan kepada individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Botak’, bagi menawarkan rasuah atau mengugut ahli Parlimen lain bagi memperoleh sokongan untuk Perdana Menteri di Parlimen.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut telah memprejudis dan merendahkan plaintif dalam perwatakan professional, kepimpinan, reputasi dan kredibilitinya serta sebagai seorang rakyat Malaysia.

Farhash Wafa mendakwa, kenyataan yang turut diterbitkan di beberapa media sosial seperti Youtube Rasmi Parlimen Malaysia, Tik Tok dan Whatsapp telah memalukannya dan telah memasukkannya ke kancah politik meskipun telah lama meninggalkan area itu.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu juga telah memalukan plaintif yang merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat tersenerai awam seperti 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad.

“Kedudukan, kewibawaan dan kebolehpercayaan plaintif di kaca masyarakat Malaysia mahupun antarabangsa yang mendapat akses kepada kenyataan fitnah tersebut, telah terjejas dengan serius dan mendatangkan prasangka serta cemuhan negatif”, ujar pernyataan tuntutan itu.

Oleh itu, Farhash Wafa menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta serta ganti rugi pampasan, am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Plaintif juga antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Wan Ahmad Fayhsal atau mana-mana ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa cara sekalipun.

Farhash Wafa turut memohon perintah mahkamah agar defendan memadamkan sebarang hantaran yang dibuat di mana-mana laman sosial kawalannya.

Plaintif turut memohon perintah agar Wan Ahmad Fayhsal membuat permohonan maaf di akhbar-akhbar tempatan pelbagai bahasa.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI