GERIK – Perkhidmatan Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) anjuran kerjaan negeri sentiasa dinantikan penduduk kerana menawarkan barangan keperluan pada harga rendah.
Pemandu lori KBNP, Mohd. Rizal Zainuddin, 43, berkata, barangan seperti ayam dijual serendah RM6 seekor mampu menarik kehadiran ratusan penduduk setiap kali program itu dilaksanakan di satu-satu kawasan di Perak.
Katanya, ada pembeli yang sanggup datang awal biarpun jualan bermula pukul 9 pagi.
“Setiap kali lori KBNP masuk kawasan, ia akan diserbu penduduk yang mahu mendapatkan barangan terutama beras, ayam dan telur murah.
“Kebanyakan barang habis dijual pukul 1 tengah hari terutama ayam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Kampung Bandariang.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, KBNP melalui beberapa proses penjenamaan semula dan dilaksanakan mengikut beberapa kandungan pelan Perak Sejahtera 2030 seperti sekuriti makanan, pembasmian kemiskinan dan membantu kumpulan berpendapatan rendah.
Pada hari tertentu, kedai bergerak ini menawarkan potongan sehingga 20 peratus.
Sementara itu, seorang pembeli, Nor Ashiken Mat Abu, 52, berkata, dia mengetahui tentang inisiatif ini melalui penduduk.
“Barangan yang dijual murah, jadi boleh menjimatkan belanja untuk bulan puasa. Harap ia dilakukan secara lebih kerap,” katanya.
Penyelia program KBNP, Muhd. Firdaus Junaidi, 28, pula memberitahu, inisiatif kedai bergerak tersebut tertumpu di kawasan luar bandar bagi membantu penduduk yang tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan runcit pada harga murah.