NEW DELHI – Seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang asyik ‘bermain’ telefon bimbit nekad keluar dari sebuah bilik selepas melihat seekor harimau bintang masuk ke ruang berkenaan, lapor portal berita Mailonline semalam.
Mohit Ahire, 12, di negeri Maharashtra, India bertindak demikian selepas binatang buas berusia lima tahun itu masuk secara tiba-tiba. Ia tidak menyedari terdapat manusia duduk di atas kerusi di tepi pintu bilik tersebut.
Mohit secara diam-diam bangun dari tempat duduknya dan perlahan-lahan menutup pintu dewan perkahwinan Sai Celebration dalam kejadian pada Selasa lalu.
“Harimau bintang itu berada sangat dekat. Saya takut. Namun, saya turun dari kerusi secara diam-diam dan beredar,” katanya kepada akhbar The Times of India.
Selepas menutup pintu, Mohit memberitahu tentang kehadiran haiwan itu kepada bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di dewan tersebut.
Bapanya menghubungi pihak berkuasa, manakala anggota-anggota jabatan perhutanan tiba dan menembak harimau tersebut menggunakan ubat bius.
Harimau itu seterusnya dibebaskan ke habitat liar. – Agensi