fbpx

Kabinet lulus cadangan pindaan perlembagaan isu kewarganegaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar KDN di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan itu dicapai selepas beliau membentangkan cadangan tersebut semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

“Hari ini saya (telah) bentangkan dan Kabinet memberikan lampu hijau sepenuhnya.

“Dan saya akan teruskan dengan proses-proses berikutnya seperti sesi penerangan termasuk kepada rakan-rakan media selain meneruskan sesi libat urus bersama tokoh-tokoh individu berkepakaran, badan masyarakat sivil serta ahli Parlimen yang kemudiannya akan mengundi,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewargangeraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Sementara itu, Saifuddin berkata, adalah menjadi harapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar cadangan pindaan perlembagaan itu dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

“Daripada segi Parlimen, kita kena ‘que’ sebab banyak pindaan-pindaan kementerian lain juga, jadi kita kena daftar dan tunggu tarikh dari setiausaha (Dewan Rakyat). Itu harapan kita semua (bentang tahun ini),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI