SEMPENA kehadiran bulan suci Ramadan, syarikat HS Event & Ent Sdn. Bhd. menganjurkan sebuah konsert istimewa yang diberi nama Ijmal Cinta Ramadan pada 23 Mac depan di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Konsert yang akan menampilkan barisan penyanyi legenda tanah air seperti Datuk Hattan, Ella dan Aris Ariwatan itu bukan untuk tujuan berhibur semata-mata, tetapi juga sarat dengan pengisian rohani bersesuaian dengan suasana bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Penganjurnya, Mubarak Akhtar berkata, konsert Ijmal Cinta Ramadan merupakan sebuah acara yang sarat dengan nilai-nilai rohani lebih-lebih lagi, ketika orang Islam sedang meraikan kedatangan bulan suci Ramadan.
Bahkan, orang ramai yang hadir juga berpeluang untuk berhibur sambil beramal, selain menunaikan kewajiban ibadah yang dilakukan secara berjemaah.
“Seperti biasa, pada petang itu nanti akan berlangsung acara tadarus al-Quran dan tazkirah, sebelum hadirin berbuka puasa bersama-sama, disusuli dengan solat maghrib secara berjemaah.
“Persembahan akan diadakan selepas solat isyak dan solat sunat tarawih. Orang ramai yang membeli tiket juga turut berpeluang untuk beramal apabila kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan,” katanya.
Selain anak-anak yatim, konsert Ijmal Cinta Ramadan juga tidak melupakan insan-insan seni yang berdepan dengan masalah kesihatan dan kewangan untuk dihulurkan bantuan.
Bantu artis susah
“Pada acara itu juga, kita akan meraikan 10 anak seni yang berdepan dengan masalah kesihatan dan kewangan untuk diberikan sumbangan.
“Semoga bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Bercakap tentang pemilihan artis yang bakal membuat persembahan pada konsert Ijmal Cinta Ramadan, Mubarak berkata, pemilihan ketiga-tiga orang penghibur itu diputuskan kerana masing-masing mempunyai kelompok peminat mereka tersendiri.
Bahkan, mereka juga sudi untuk terbabit dalam membuat persembahan istimewa pada bulan Ramadan.
“Ketiga-tiga penghibur itu bukan hanya mempunyai kelompok peminat yang besar, tetapi juga menunjukkan kesudian yang cukup luar biasa untuk terbabit dalam membuat persembahan istimewa ini,” ujarnya.
Tiket konsert Ijmal Cinta Ramadan dijual pada harga RM15,000 untuk VVIP, RM12,000 (VIP), RM8,000 (Platinum), RM6,000 (Gold) dan RM4,000 (Silver).
Untuk tempahan, boleh menghubungi Ain Hasbullah menerusi talian 012-972 1125 dan Shasha (019-769 5588).