MANJUNG – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dilalui seorang wanita apabila terpaksa seorang diri membesarkan tujuh anak termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) intelektual sejak kematian suaminya dua tahun lalu.
Nurul Afeeza Mohd. Tarmedi, 30, berkata, tanggungjawab berkenaan lebih sukar apabila dia tidak mempunyai mata pencarian selepas terpaksa berhenti sebagai penghantar barang kerana menjaga kesemua anaknya termasuk anak OKU yang hiperaktif.
Menurutnya, suaminya, Haber Puyung, 58, meninggal dunia pada 2022 akibat darah tinggi dan dia dikurniakan anak berusia antara tiga hingga 14 tahun.
“Anak sulung saya yang juga OKU tidak boleh dibiarkan sendiri kerana dibimbangi akan mencederakan diri sendiri atau adik beradiknya yang lain.
“Dia sebelum ini suka bermain dengan air dan kini dengan api di dapur,” katanya semalam.
Bercerita lanjut, Nurul Afeeza berkata, detik dia bergelar ibu tunggal apabila suaminya tiba-tiba rebah ketika sedang berurusan di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur akibat kehilangan pekerjaan.
“Suami menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari ditidurkan. Pemergiannya membuatkan saya sangat terkejut dan menjadi murung selepas itu. Tambahan pula ketika itu saya sedang mengandungkan anak bongsu,” katanya.
Menurutnya, ketika ini, kehidupan mereka bergantung kepada pencen suami berjumlah RM1,200 sebulan serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700.
“Selain perbelanjaan harian, saya juga perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan. Kereta kami masih di bengkel kerana tidak cukup duit,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurul Afeeza di talian 011-7005 7435 atau menyalurkannya ke akaun Maybank 158181298541 (Nurul Afeeza).