LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengakui pasukannya memiliki kelebihan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Anfield Ahad ini.
Menurutnya, Liverpool lebih dahagakan kemenangan dan kejuaraan EPL musim ini berbanding City menyebabkan peluang mereka untuk memenangi perlawanan itu dan meraih jarak mata selesa lebih besar.
City dianggap pasukan yang paling berjaya di England sejak kebelakangan ini apabila meraih lima gelaran EPL dalam enam musim dan telah merangkul gelaran trebel pada musim lalu.
Bagaimanapun, musim ini menyaksikan Liverpool berpeluang untuk menamatkan penguasaan The Citizens apabila muncul pendahulu saingan liga dengan kelebihan satu mata dan kemenangan pada aksi kali ini membuatkan mereka bertambah selesa.
“Pastinya ia bukan mudah. Kami berdepan sebuah ‘mesin’ yang dibina untuk memenangi setiap perlawanan dan itu adalah cara paling mudah untuk menggambarkan Manchester City.
“Walaupun mereka memenangi banyak gelaran dan lebih berjaya berbanding Liverpool, kejayaan yang di kecapi lebih berharga buat kami dan para penyokong kerana situasi kelab yang berbeza.
“Ia mengenai bagaimana sebuah kelab membina pasukan itu dan tradisi yang kami telah lalu di sini. Jadi, setiap kejayaan yang kami kecapi itu lebih bermakna berbanding mereka,” katanya.
Tambahnya, pengumuman mengenai pemergian pengendali mereka, Jurgen Klopp pada hujung musim ini juga menjadi salah satu faktor yang melonjakkan semangat Liverpool untuk melakukan suatu yang lebih istimewa.
“Kami telah buktikan sebelum ini bahawa memenangi gelaran bukan suatu yang mustahil, jadi musim ini juga tetap tidak berubah mengenai keyakinan tersebut. Kami teruja untuk terus bersaing dengan City,” jelasnya. – AGENSI