GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang budak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul di sini, semalam.
Lelaki berusia 40-an itu turut cedera pada bahagian muka akibat dipukul orang ramai yang berada di kompleks berkenaan selepas menyedari perbuatan keji suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan ibunya sedang beratur di kaunter bayaran.
“Perbuatan lelaki itu disedari ibu mangsa lalu menjerit. Lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri. Orang ramai yang ternampak kejadian itu bertindak memukul mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudiannya ditahan polis dan telah direman selama tiga hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLIN