SUBANG JAYA – Perdana Menteri akan berbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bagi memberikan sedikit ruang dan kelonggaran kepada golongan wanita yang sudah berkeluarga untuk kembali bekerja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada wanita supaya dapat memanfaatkan kebolehan mereka disamping menjaga kepentingan anak-anak di rumah.
“Negara kita di peringkat akhir mengkaji Skim Saraan Penjawat Awam dengan maksud meningkatkan kadar upah kerana sudah lebih 10 tahun tidak dikaji, dan saya akan bincang dengan KSN dan KPPA supaya memberikan sedikit ruang dan kelonggaran.
“Walaupun dengan gaji yang kurang, biasa orang bekerja pukul 8 pagi sehingga 4 petang, walaupun bekerja empat jam mengikut kadar upah sekadar empat jam tetapi sekurang-kurang kita boleh memanfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk menjaga kepetingan anak-anak mereka di rumah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini hari ini.
Anwar berkata, perkara terbabit akan diumumkan sebelum akhir tahun ini sekiranya diberi ruang untuk diteliti.
“Kalau jadi, ini merupakan antara negara pertama yang memberikan pengiktirafan yang cukup bermakna kepada wanita.
“Memberi ruang kepada mereka bekerja disamping menjaga urusan rumah tangga ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE