KUALA LUMPUR – Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) telah melancarkan produk insurans baharu iaitu Perlindungan EV Allianz untuk kenderaan elektrik (EV) yang menyediakan perlindungan pertama dalam industri untuk mengecas secara mudah alih.
Allianz EV Rangers, perkhidmatan pertama dalam industri yang telah memulakan operasi di Lembah Klang, menyediakan perkhidmatan mengecas mudah alih yang memboleh sesebuah kenderaan sampai ke fasiliti mengecas yang terdekat.
Mengulas tentang faktor unik Allianz Road Rangers, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, Allianz General terus memperhalusi bantuan tepi jalan dan mengutamakan pelanggan.
“Dengan produk terbaharu ini, kami telah mengenal pasti titik sentuh yang biasa dihadapi oleh pelanggan dan telah menyediakan penyelesaian yang menyeluruh.
“Misalnya, jika anda kehabisan bateri dalam perjalanan untuk menaiki pesawat, Allianz EV Rangers kami akan segera sampai dan mengecas bateri EV anda dan anda boleh meneruskan perjalanan,” katanya.
Pelanggan dengan Perlindungan EV Allianz akan mendapat manfaat perlindungan daripada pelbagai titik sentuh berkaitan mengecas EV termasuk RM15,000 untuk kehilangan atau kerosakan akibat kebakaran, kecurian dan bencana alam terhadap kotak dinding pengecas.
Ia turut memberi perlindungan bernilai RM2,000 untuk kerosakan akibat kebakaran, kecurian dan bencana alam terhadap kabel pengecas mudah alih.
Jika kejadian yang tidak diingini berlaku ketika menggunakan pengecas EV awam, perlindungan Ehsan sehingga RM5,000 akan diberikan kepada pelanggan untuk kos pembaikan atau untuk perbelanjaan perubatan jika kenderaan rosak dan orang yang diinsuranskan mengalami kecederaan anggota badan.
Selain itu, orang yang diinsuranskan juga dilindungi sehingga RM50,000 bagi kecederaan
anggota badan pihak ketiga dan kerosakan harta yang disebabkan oleh penggunaan langsung pengecas dinding EV di rumah oleh orang yang diinsuranskan.
Dalam pada itu, merujuk kepada bantuan tepi jalan terbaik oleh Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, dengan Perlindungan EV, pelanggan mereka akan diberikan pengalaman yang premium yang disukai mereka.
“Jika berlaku kemalangan, serahkan sahaja kepada Allianz Road Rangers untuk menguruskannya.
“Pelanggan kami tidak akan berdepan dengan ugutan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang memaksa mangsa untuk membawa kenderaan mereka ke bengkel yang tidak bertauliah,” jelasnya.
Tambah beliau, syarikat juga bekerja keras untuk memastikan pelanggan tidak mengalami kesulitan selepas kemalangan atau kerosakan kereta mereka. -KOSMO! ONLINE