fbpx

Aina Abdul penyanyi terbaik pernah dilahirkan – Misha Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Misha Omar menyifatkan Aina Abdul sebagai penyanyi terbaik yang dilahirkan dalam industri muzik tanah air hari ini.

PETALING JAYA – Penyanyi Misha Omar mengakui nyanyiannya tidaklah begitu sempurna jika hendak dibandingkan dengan penyanyi lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Marsha Milan.

Malah, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisha Omar berkata, dia amat berbangga dengan ketepatan vokal yang dimiliki penyanyi-penyanyi tersebut yang disifatkan sangat hebat.

“Nyanyian saya tidak pernah tepat dan sempurna, terutama sewaktu tidak sihat. Kalau nak cari ‘pitch’ yang tepat, penyanyi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Marsha Milan, mereka adalah antara penyanyi yang ‘tersusun’ dengan betul ketika menyanyi.

“Kalau saya guru vokal, saya bagi mereka markah A+,” kata Misha ketika melayan peminatnya menerusi satu sesi Live dalam Instagram baru-baru ini.

Diminta mengulas kemenangan Aina Abdul yang membawa pulang anugerah Vokal Terbaik semasa Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), pada Ahad lalu, penyanyi berusia 42 tahun itu mengakui kehebatan vokal yang dimiliki penyanyi genit itu.

Misha menyifatkan Aina sebagai penyanyi terbaik yang dilahirkan dalam industri muzik tempatan.

“Kalau juri dah bagi (kemenangan), maksudnya dia memang layak. Aina merupakan seorang penyanyi yang bagus dan antara penyanyi terbaik yang dilahirkan di Malaysia,” katanya.

Sempat berkongsi pengalaman selepas beberapa kali menyertai AJL, Misha pernah berdepan pelbagai perasaan, termasuk ketika lagunya gagal mara ke pentas akhir.

“Saya telah merasai pelbagai pengalaman untuk ke pentas AJL. Saya pernah kecewa apabila lagu Dedebu Cinta gagal untuk ke peringkat akhir AJL20 pada 2005.

“Saya pernah rasa apabila lagu gagal ke peringkat separuh akhir, pernah rasa gelaran juara kategori Balada (lagu Pulangkan AJL19) dan pernah merasai gelaran juara di AJL18 (Bunga-Bunga Cinta).

“Tapi rasa kecewa itu membuatkan saya berusaha lebih keras lagi untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Kongsi ibu kepada dua orang cahaya mata itu lagi, dia menyifatkan kemenangan lagu Bunga-Bunga Cinta, ciptaan komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan semasa AJL18 (2003), sebagai kenangan manis yang tidak akan dia lupakan.

Kata Misha, sebagai penyanyi baharu pada ketika itu, dia berasa amat dihargai, terutama ketika dilayan dengan baik oleh penyanyi tersohor negara, Siti yang turut bertanding menerusi lagu Ku Milikmu.

“Sebagai penyanyi baharu, saya rasa amat dihargai, terutama ketika dilayan dengan baik oleh TokTi (panggilan Siti).

“Dia sangat menjaga dan mengambil berat tentang saya pada ketika itu. Kalau tengok semula video kemenangan saya dalam YouTube, dia tenangkan saya selepas diumumkan sebagai juara,” kongsinya.

Terdahulu, Misha pernah beberapa kali layak ke pentas AJL menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta (AJL18), Pulangkan (AJL19), Ku Seru (AJL21), Sembunyi, duet bersama Andy Flop Poppy (AJL22), Cinta Adam dan Hawa (AJL24) dan Sampai Bila (AJL33). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI