KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi penjagaan kesihatan, Mywam Sdn. Bhd. memperkenalkan Agata, aplikasi penjagaan kesihatan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) berasaskan langganan inovatif yang bakal mengubah landskap digital penjagaan kesihatan perubatan.
Penyelesaian perisiannya menyepadukan teknologi dengan sentuhan manusia, menyokong lebih 30 bahasa dalam format suara dan teks.
Ia turut memberi pesakit peluang untuk berkomunikasi sepanjang masa tanpa had dengan doktor untuk mendapatkan nasihat perubatan, sokongan kesihatan, pertanyaan jualan dan motivasi mental.
Doktor boleh menggunakan sepenuhnya penyelesaian lanjutan pada kos tetap untuk berbual dengan pesakit atau bakal pesakit melalui suara manusia yang disesuaikan dan wakil grafik untuk praperundingan, nasihat berterusan atau tujuan pasca perundingan.
Pengasas Mywam, Dana Ariya menzahirkan rasa teruja tentang impak transformatif Agata sebagai pengubah industri penjagaan kesihatan.
“Misi kami adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan mudah diakses dan inklusif untuk semua, tidak kira di mana mereka berada dan bila-bila masa.
“Agata bukan sahaja mengenai akses, ia memupuk kerjasama dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, memperkasakan doktor untuk membangunkan pelan rawatan yang peribadi dan disesuaikan dengan keperluan setiap pesakit.
“Dengan Agata, ia seolah-olah mempunyai pasukan pakar dan profesional penjagaan kesihatan yang berdedikasi di hujung jari pesakit,” katanya pada majlis pelancaran di sini baru-baru ini.
Dibangunkan dengan kerjasama Osense, syarikat permulaan penyelidikan teknologi dari Taiwan, Agata turut menawarkan kemudahan menjadualkan janji temu, mengakses rekod kesihatan dan maklumat tentang perjalanan penjagaan kesihatan.
Ia turut menyediakan alat untuk menyelaraskan penyampaian penjagaan kesihatan kepada doktor bagi meningkatkan penglibatan mereka dengan pesakit.
Dana Ariya berkata, pihaknya menyasarkan untuk mendekati 1,000 doktor menjelang Ogos ini bagi langganan perkhidmatan itu dengan matlamat mencapai sejuta pesakit yang memerlukan.
“Kami juga mengalu-alukan peluang pelaburan daripada syarikat berminat yang ingin menyertai kami dalam merevolusikan industri penjagaan kesihatan untuk manfaat jangka panjang orang ramai,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE