PENGGEMPUR sensasi Bayern Munich, Harry Kane membuktikan keputusan meninggalkan Tottenham Hotspur musim panas lalu adalah keputusan yang tepat apabila dia muncul sebagai antara penyerang paling prolifik di Eropah ketika ini apabila meledak 33 gol dalam 33 penampilan dalam semua kejohanan.
Awal pagi semalam menyaksikan Kane menggunakan ketajamannya untuk menyempurnakan dua ‘operasi menyelamat’ iaitu mengelak Bayern tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) dengan membenam Lazio 3-0 untuk mara ke suku akhir dengan agregat 3-1 serta memastikan Thomas Tuchel kekal sebagai pengendali pasukan itu sehingga penghujung musim.
Pihak pengurusan The Bavarian memberi amaran sebelum aksi tersebut apabila bersedia memecat Tuchel sekiranya mereka tewas pada perlawanan di Allian Arena tersebut selain UCL juga mungkin satu-satunya peluang Kane untuk menamatkan badi trofi apabila semakin jauh daripada gelaran Bundesliga serta tersingkir pada kempen Piala DFB.
Rekod jaringan Kane musim ini dianggap paling terbaik dalam kariernya sejak lima musim lalu apabila mengatasi pencapaian musim lalu dengan meledak 32 gol, malah Kane pernah mencapai jumlah jaringan sebanyak 33 gol pada musim 2020/21, namun terpaksa mengharungi 49 perlawanan.
Legenda Perancis dan Arsenal, Thierry Henry sebelum ini pernah melabelkan Kane sebagai penggempur paling sempurna ketika ini biarpun prestasi Bayern tidak konsisten, selain mengakui sikap positif pemain itu turut menyumbang kepada ketajaman penyudah yang dimiliki.