Setiap kali tibanya Ramadan, orang ramai pasti tertunggu-tunggu untuk memilih tempat berbuka puasa terbaik bagi berkongsi memori bersama keluarga dan kenalan tercinta.
Antara lokasi berbuka yang menjadi pilihan utama adalah Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya, Selangor yang bakal membawa orang ramai ‘mengembara’ ke 14 negeri di seluruh Malaysia menerusi lebih 80 hidangan menarik pada setiap hari.
Bertemakan ‘Cita Rasa Ramadan’ pada tahun ini, orang ramai berpeluang menjamu pelbagai sajian eksklusif di hotel lima bintang tersebut bermula pada 13 Mac hingga 9 April di aras Melati (aras M).
Menurut cef banquet, Cef Shahbani Md. Akhir, antara hidangan signatur yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun semestinya sup gearbox bersaiz besar dengan aroma rempah-ratus.
Katanya, hidangan lain yang turut menjadi tumpuan termasuklah ayam percik, kambing panggang bersama nasi Arab, pasta, spageti serta makanan laut segar.
“Bagi pencuci mulut, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai kuih-muih tradisional, seleksi kek, buah-buahan segar, ais kacang serta cendol untuk dinikmati sebagai pelengkap selera,” katanya ketika ditemui pada majlis previu bufet Ramadan baru-baru ini.
Harga ditawarkan adalah RM188 untuk dewasa, RM150 (warga emas 60 tahun ke atas) dan RM90 (kanak-kanak enam hingga 12 tahun).
Tempahan awal berakhir pada 13 Mac ini dengan harga istimewa RM158 (harga dewasa).
Lebih menarik, hasil kerjasama Hotel Dorsett Grand Subang bersama Agro Best, orang ramai boleh merasai kenikmatan raja buah, durian dengan bayaran tambahan sebanyak RM49.99.
Setiap pinggan menampilkan tiga jenis durian berbeza iaitu D24, udang merah dan IO1 dengan menawarkan dua ulas bagi setiap jenis.
Bukan itu sahaja, para pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan Buskers Duo ketika menjamu selera, selain boleh mencuci mata di gerai pakaian dan kasut raya hasil sentuhan pereka-pereka fesyen terkenal.