PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri petang ini.
Menurut kenyataannya, cuaca buruk diramal melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Sarawak.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga dijangka berlaku di beberapa tempat di pedalaman Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.
Sementara itu, di Sarawak, ribut petir di satu dua tempat membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang pada sebelah petang.
“Di Sabah, hujan diramal berlaku di kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Papar dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan” katanya.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE