KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menyediakan peruntukan sebanyak RM3.6 juta di bawah program pembangunan dalam usaha untuk meningkatkan sektor usahawan tani di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan itu meliputi pembangunan tanah terbiar, tanaman padi, komoditi, industri sayur-sayuran, buah-buahan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian.
Menurutnya, peruntukan berkenaan turut meliputi aktiviti hiliran IKS, Pembangunan Usahawan Tani dan Pembangunan Industri Kelapa.
“Sebanyak RM500,000 diperuntukan untuk projek Pembangunan Usahawan Tani pada tahun ini. Ia merangkumi skop utama program tersebut iaitu mempertingkatkan pendapatan usahawan kepada RM5,000 setiap bulan kepada pemohon yang sedang menjalankan projek sedia ada.
“Keutamaan diberikan kepada belia untuk menceburi bidang pertanian melalui peruntukan program-program pembangunan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan,” katanya ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (Chetok-Pas) pada Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-15, Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Saripudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising memberitahu, keutamaan peruntukan itu adalah selaras dengan pelan penggantian petani bagi meningkatkan bilangan usahawan tani muda sebagai generasi pelapis kepada golongan usahawan tani yang berumur.
Katanya, selain itu, Jabatan Pertanian turut menggalakkan golongan anak muda dan belia menceburi bidang pertanian melalui Program Agropreneur Muda yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.- KOSMO! ONLINE