SHAH ALAM – Seorang pemandu lori yang menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominum di daerah ini dijangka didakwa di Mahkamah Majistret esok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pendakwaan terhadap lelaki berusia 37 tahun tersebut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dituduh di Makamah Shah Alam pukul 9 pagi esok,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, suspek diperintah menjalani tahanan reman selama sembilan hari bermula 29 Februari lalu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita maut terjatuh tingkat 23 selepas ditolak kekasihnya dalam kejadian di Setia Alam.
Dalam kejadian pukul 10.08 malam, 28 Februari lalu itu, mangsa yang merupakan warga Thailand berusia 32 tahun dijumpai dalam keadaan tertiarap di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
Difahamkan, semasa kejadian, suspek yang merupakan warga tempatan berada di bawah pengaruh dadah.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian. -KOSMO!ONLINE