fbpx

Op Tapis Khas: 5,041 individu ditahan termasuk penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 5,041 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis Khas Siri 2 di seluruh negara selama tiga hari bermula 4 Mac hingga semalam.

Serbuan membabitkan 3,727 kawasan Felda dan Felcra, ‘port’ penagih, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kawasan perumahan, sekatan jalan raya dan perkampungan nelayan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 2,340 pegawai dan anggota.

Ujarnya, seramai 5,352 individu diperiksa manakala 5,041 daripadanya yang berusia lingkungan 14 hingga 80 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Seramai 497 tokan ditahan dimana ada antaranya merupakan seorang penjawat awam dan pelajar. Bagi kategori penagih, 2,855 individu dicekup (empat daripadanya penjawat awam).

“Selain itu, seramai 186 individu dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah manakala 1,503 orang lagi termasuk seorang penjawat awam dan tujuh pelajar ditahan atas lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kok Chin berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan, memusnahkan lokasi penagihan, tindakan atas penagih tegar, menangkap suspek dikehendaki kesalahan dadah serta tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 16.7 kilogram (kg) dengan 10.22 liter pelbagai jenis dadah beserta 20.91 kg dan 625 liter racun berjaya dirampas dengan kesemua nilai berjumlah RM324,596.90.

“Antara yang dirampas adalah syabu (2.6 kg), ganja (1.1 kg), heroin (2.6 kg), ketamin (0.4 kg) pil yaba (1.1 kg), serbuk ekstasi (7.1kg) dan air ketum sebanyak 625 liter.

Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 68,885 orang penagih dadah.

Selain itu, ujar Kok Chin, pelbagai aset kesemua suspek turut disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 antaranya jam tangan, barang kemas, kenderaan serta wang tunai kesemuanya dianggarkan bernilai RM870,039.

“Ini sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset berjumlah RM1.19 juta,” katanya.

Kok Chin berkata, semua suspek disiasat mengikut pelbagai seksyen kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, individu dikehendaki dan juga Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, menerusi Op Tapis Khas Siri 1 dan Siri 2 tahun 2024 yang dijalankan pada Januari dan Mac, seramai 10,832 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dan racun.

Menurutnya, 119 individu daripadanya ditahan di bawah ADB (Langkah-langkah pencegahan khas), tokan (1,031), penagih (6,081), individu dikehendaki (433), seramai 579 individu diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 manakala 2,589 individu lagi lain-lain kes kesalahan.

“Turut dirampas termasuklah sejumlah 133 kg, 10,57 liter pelbagai jenis dadah dan 32.9 kg, 16,701 liter pelbagai jenis racun yang keseluruhannya bernilai RM934,668.29.

“PDRM khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan bantuan saluran maklumat daripada masyarakat sekeliling,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI