fbpx

Naik taraf Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dijadual siap Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan (tengah) meninjau projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dimulakan pada 1 Disember 2021 dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu dilaksanakan secara perunding konvensional dengan kos kontrak asal sebanyak RM17.9 juta.

“Kemajuan projek juga amat baik dan telah mencapai kemajuan fizikal sebenar sebanyak 82 peratus berbanding kemajuan jadual iaitu 71 peratus.

”Usia Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini telah mencapai lebih 100 tahun dan ia sudah menjadi bangunan warisan, kontraktor telah melaksanakan projek ini dengan baik dan mengikut syarat-syarat ditetapkan serta mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dibina seawal tahun 1883 ini dilindungi di bawah Akta Bendapurba 1976 dan kini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

”Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini merupakan salah satu faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

”Sejajar dengan usianya, bangunan warisan itu dilaporkan mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat serta tompokan air yang terdapat di beberapa bahagian,” katanya.

Justeru itu, katanya, projek menaik taraf dan pemuliharaan yang dilaksanakan akan mengekalkan keaslian binaan sebanyak mungkin, membaik pulih bagi memastikan keselamatan pengguna dan menambah beberapa fasiliti yang diperlukan bagi menjamin kemampan keperluan di masa hadapan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI