fbpx

‘Naik hantu’ isteri tolak makan malam, lelaki didakwa pukul empat beranak, ugut bakar ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah sejurus lapan pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Gara-gara berang isteri enggan makan malam bersama, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul wanita tersebut dan tiga anak perempuannya, selain mengugut bunuh ibu kandungnya sendiri, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 40 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua lapan pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah.

Dalam prosiding di hadapan Azaraorni, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri berusia 41 tahun dan tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di rumah bernombor di Taman Merlimai Baru, dalam daerah Jasin pada 26 Februari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah untuk bunuh dan bakar ibu kandungnya berusia 63 tahun di luar rumah di lokasi, tarikh dan waktu sama dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh yang tidak bekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, di hadapan Rohatul, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh.

Anis Najwa bagaimanapun memohon jaminan RM20,000 serta syarat tambahan dikenakan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara. Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memaklumkan mahkamah bahawa dia juga tidak mampu menyediakan wang jaminan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah bersetuju tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 22 April ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki bertindak kejam apabila memukul dan memijak tiga anak perempuannya gara-gara isteri enggan makan malam bersama dalam kejadian di Merlimau di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian berlaku selepas suspek pulang ke rumah pada pukul 10 malam dan mengajak isterinya untuk makan malam bersama-sama.

Katanya, wanita itu bagaimanapun menolak pelawaan tersebut kerana suspek berada di bawah pengaruh alkohol sebelum tiba-tiba dimarahi dan dipukul bersama-sama tiga anak perempuan yang lain berusia 12, 14 dan 16 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI