MELAKA – Seramai 130,000 pelancong kesihatan dijangka tiba ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, angka itu dapat dicapai selepas Melaka menerima ketibaan 99,936 pelancong kesihatan tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 90 peratus daripada jumlah itu adalah pelancong dari Indonesia.
Ujarnya, Vietnam dikenal pasti sebagai pasaran baharu yang berpotensi untuk diteroka memandangkan kos penjagaan kesihatan di negara itu agak tinggi.
“Kita banyak membuat promosi di beberapa lokasi di Indonesia seperti Batam, Pekanbaru, Bengkalis dan Dumai serta Palembang. Kita juga akan menyertai pameran pelancongan di Riau pada Mei ini untuk mempromosikan pakej-pakej perubatan di Melaka.
“Penubuhan pusat-pusat maklumat di Indonesia juga membantu menyalurkan lebih banyak maklumat sekali gus menarik mereka datang ke sini. Warga Indonesia memilih Melaka kerana hospital swasta di sini memiliki kelengkapan yang mencukupi,” katanya pada sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Hee Sem, Vietnam juga mampu mengelakkan kebergantungan Melaka kepada pelancong Indonesia.- KOSMO! ONLINE