SUKAR untuk menggambarkan kehebatan filem sci-fi epik, Dune: Part Two yang baru sahaja diluncurkan di pawagam seluruh negara hujung Februari lalu.
Penulis terfikir, jika Dune: Part Two adalah seni sastera, filem berkenaan adalah William Shakespeare. Kalau Dune sebagai lukisan, karya garapan Denis Villeneuve itu seagung lukisan Monalisa.
Andai juga Dune digambarkan dalam bentuk sukan, agungnya ciptaan sinematografi bertaraf gemilang laksana pencapaian yang digapai Michael Phelps dalam sukan renang. Itulah Dune atau secara khususnya, Dune: Part Two di mata penulis.
Slow burn ‘bertapi’
Garapannya lengkap dan sempurna serba-serbi. Dari segi olahan cerita atau skrip, pengarahan, sinematografi dan terjemahan pelakon terlibat, semua bertaraf out of this world atau sangat luar biasa.
Pertama, Dune: Part Two masih ‘slow burn’ atau bergerak perlahan sama seperti bahagian perdananya, namun kali ini lebih menjawab segala persoalan yang tergantung selama ini.
Apa hubung kait antara Paul Atreides dengan House Harkonnen dan villain bernama Vladimir Harkonnen? Mengapa dia dipilih sebagai Lisan al Gaib, apa penghabisan cinta antara ‘pemimpin’ kesayangan ramai itu dengan Chani, semuanya digarap serta dijawab dalam Dune: Part Two dengan cemerlang.
Sejujurnya, filem pertama Dune yang diluncurkan beberapa tahun sudah sangat bersifat ‘slow burn’. Kalau tidak diberikan perhatian 110 peratus, memang akan mengelamun dan hilang fokus entah ke mana.
Yang kedua kali ini, Villeneuve masih ‘terjal’ dengan gaya pengarahan sama, namun, memberikan ‘fokus’ dalam setiap babak atau adegan yang membuatkan penonton seperti penulis terpaku tanpa sebarang permasalahan.
Dari segi sinematografi, Dune: Part Two memberikan segala-galanya. Semua yang membuatkan mulut ternganga dan minda kreatif berderas, filem ini ada semua. Memang luar biasa.
Apa yang kalian tidak pernah rasakan di bangku sinema, filem berkenaan akan isi kelompongan yang selama ini bersawang dalam nafsu sinematik semua orang.
Mudah masuk senarai Top 3
‘Celakanya’ Dune: Part Two, baru memasuki bulan ketiga tahun 2024, penulis secara peribadi berasakan bahawa mungkin sehingga hujung tahun, filem berkenaan akan kekal dalam senarai Top 3 kegemaran peribadi.
Dari sudut kesan atau efek bunyi mahupun skor muzik, Dune: Part Two memang tiada galang-gantinya.
Terima kasih Hans Zimmer kerana melunaskan tanggungjawab anda dengan luar biasa kemenjadiannya. Dune: Part Two sebuah lagi ‘kerja gila’ berkonotasi positif daripada susuk hebat itu.
Hal seterusnya, terjemahan karakter barisan pelakon terlibat dalam filem ini memang tiada tandingan. Semua tahu bagaimana ingin ‘menyelit’ dan memberi dampak seluas-luasnya dalam filem berdurasi tiga jam berkenaan.
Timothée Chalamet sebagai Paul Muad’Dib Atreides sangat chef’s kiss. Chani yang diperankan Zendaya juga tiada cela.
Pelakon pembantu lain seperti Josh Brolin sebagai Gurney Halleck dan Austin Butler (Feyd-Rautha Harkonnen) tahu assignment yang harus dibentangkan. Ensemble terkuat dan paling kukuh setakat Mac 2024!
Tinggal lagi, sila tonton filem ini di panggung berformat IMAX untuk rasai sendiri pengalaman sinematik terhebat setakat ini. Memang gila!