RAUB – Pengguna jalan raya kini dapat menjimatkan masa perjalanan mereka menerusi pembukaan sebahagian jalan Seksyen 5A: Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub bypass sepanjang 6.4 kilometer (km).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laluan terbabit yang mula dibuka pada pukul 12.01 tengah malam ini dapat menjimatkan masa kira-kira 30 minit berbanding dua jam yang diambil pengguna dari Bentong ke Raub.
“Pengguna yang berulang alik ke pantai timur boleh menggunakan jalan pintas ini dan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong dan Raub terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.
“Pembukaan jajaran ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuh Raya Pantai Timur ke Kuala Lipis, tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km,”katanya selepas Perasmian Pembukaan Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass sepanjang 6.4 kilometer yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM252.5 juta dan baki sepanjang 2.6 km dijadual disiapkan pada Jun 2024.
Beliau memberitahu panjang laluan Seksyen 5A: Raub ByPass adalah 9.6 km keseluruhannya dan dengan pembukaan 6.4 km pada hari ini termasuk 600 meter yang dibuka pada 24 Jun tahun lalu menjadikan jajaran yang telah dibuka kepada rakyat adalah tujuh kilometer.
“Perjalanan yang lebih singkat ini pastinya menjadi pilihan pengguna jalan raya kerana mampu mengurangkan kesesakan jalan raya dan kos bahan api khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi,”katanya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk membina Kawasan Rehat dan Rawat ( R&R) di laluan berkenaan bagi keselesaan pengguna. – KOSMO! ONLINE