SEREMBAN – Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta sukarelawan diseru untuk mengambil peluang bulan Ramadan dalam membantu kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) malahan juga bersedia bekerjasama memberi data dan maklumat golongan sasar terbabit.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, langkah itu bagi memudahkan proses pengagihan bantuan sekali gus lebih banyak golongan sasar dapat dibantu dan disantuni dengan lebih baik.
“Di pihak kementerian, kami sedia bekerjasama dalam memberi data serta maklumat golongan sasar untuk diberi bantuan tersebut.
“Lazimnya pada setiap tahun di bulan Ramadan memang ramai sukarelawan, NGO dan pihak korporat memberi sumbangan dan langkah itu kami memang alu-alukan serta menggalakkan lebih ramai lagi ke hadapan membantu mereka yang memerlukan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran ‘Kempen Happening Raya’ di Mydin Seremban 2 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noraini berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sentiasa memastikan golongan sasar dapat dibantu. – KOSMO! ONLINE