PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melancarkan Sistem e-Rancangan Pengajaran Harian (RPH) secara ‘offline’ sebelum penggunaan sistem dalam talian menjelang September tahun ini.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi, berkata, sistem itu akan dilaksanakan pada sesi persekolahan 2024/2025 bermula 10 Mac nanti.
“RPH merupakan dokumen penting bagi setiap pendidik di mana ia membantu merancang dan mengarahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas sebelum sesi pembelajaran bermula.
“e-RPH offline ini sebagai satu tempoh transisi sebelum pelaksanaan secara dalam talian selari dengan usaha ke arah pendigitalan supaya pendidik lebih kompeten dalam usaha membantu memastikan proses PdP berjalan lancar dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Ketua Pengarah Kemas Tahun 2024 di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Katanya, sistem itu buat masa ini dibangunkan sendiri sepenuhnya oleh Pendidik Masyarakat Tabika Kemas dan akan diperluaskan di seluruh negara.
Tambah beliau, ia adalah suatu usaha bagi merealisikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
“Bagi tahun 2024, sebanyak 4,145 kelas Tabika Pra Tahfiz Kemas bakal dibuka melibatkan 62,175 kanak-kanak dengan sasaran 60 peratus kanak-kanak dapat menguasai 20 surah termasuk surah Juz Amma dan surah pilihan.
“Pemikiran ke hadapan dan hala tuju kita pada hari ini sebagai anggota Kemas harus terus komited mendukung konsep goverment of the day seperti yang digariskan Tan Sri Mohd. Zuki Ali selaku Ketua Setiausaha Negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE