fbpx

K2

Hukum enggan memaafkan kawan yang membuka aib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERBUATAN memaafkan kesalahan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya nak tanya soalan berkenaan hukum tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Saya ada seorang kawan baik, tapi kawan saya ini sering ‘tikam belakang’ saya, menjaja keburukan dan aib saya kepada orang lain. Apabila saya tahu, saya terus menjauhkan diri daripadanya dan sejurus selepas itu, dia memohon maaf kepada saya. Berdosakah saya jika tidak mahu memaafkan dan marah kepadanya?

Jawapan: Secara umumnya, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Namun, seseorang diharuskan untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya.

Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita.
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak.

Menurut firman-Nya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” Surah Ali-Imran (133-134)

Menurut Imam al-Qurtubi, perbuatan memaafkan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji.

Sebagai contoh, manusia diharuskan untuk memberi kemaafan atau menuntut kembali haknya yang diambil, ataupun memberi kemaafan kepada orang yang menerima hukuman atas kesalahan dilakukannya.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan ayat ini tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia yang memaafkan orang lain yang telah berbuat jahat terhadap mereka, walaupun mereka sebenarnya boleh membalas kembali perbuatan jahat tersebut.

Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal cerdas, fikiran jitu dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam.

Berdasarkan tafsir di atas, seseorang manusia mempunyai hak untuk menuntut kembali apa sahaja perkara buruk yang dilakukan terhadapnya seperti kecurian, kehilangan harta benda, ejekan dan lain-lain.

Namun, Allah SWT memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain, walaupun dia sebenarnya boleh sahaja tidak memaafkan.

Oleh yang demikian, jelas bahawa tidak mengapa seseorang untuk membalas perbuatan keburukan yang dilakukan terhadap kita, tetapi dengan syarat haruslah setimpal dan tidak melebihi batasan.

Walaupun begitu, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada umat Islam untuk menjaga hati daripada sifat keji dengan cara memaafkan kesalahan orang lain, terutama sekali jika membabitkan hubungan persaudaraan.

Jika seorang memohon maaf kepada saudaranya atas kesalahan yang dilakukan, maka yang lebih utama adalah memaafkannya.

Kesimpulannya, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Namun, diharuskan bagi seseorang itu untuk tidak memaafkan kerana manusia mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, maafkanlah kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI