PETALING JAYA – Pelakon Puteri Balqis menegaskan kefasihannya bertutur dalam bahasa Inggeris bukan bertujuan untuk menunjuk kehebatan diri kepada orang ramai.
Puteri Balqis Azizi atau mesra disapa sebagai Aqish, 17, sebaliknya berkata, dia hanya mahu mendidik dan menanam minat dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan bahasa perantara dunia tersebut.
“Bukan nak bongkak tetapi hakikatnya adalah satu bentuk pendidikan.
“Pelbagai jenis kerja yang memerlukan kita bertutur dalam bahasa Inggeris. Tak akanlah kita pergi Sepanyol hendak cakap Melayu pula,” katanya kepada Kosmo! Online selepas pelancaran drama Terlanjur Cinta terbitan Viu di sini, semalam.
Tambahnya, kepetahan dan kefasihannya berbahasa Inggeris itu merupakan hasil usaha ibunya yang gigih membeli bahan bacaan bagi memastikan dirinya mendapat pendidikan yang sepatutnya.
“Ibu saya rajin, beli buku alfabet dan dia akan menyenaraikan setiap perkataan mengikut huruf selain membenarkan saya menconteng di mana sahaja termasuk pada dinding rumahnya.
“Semua itu nampak sukar tetapi hasilnya sangat berbaloi,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai permintaan segelintir netizen yang mahu dia berlakon dalam naskhah antarabangsa, Aqish menjawab ingin menempa nama di negara sendiri terlebih dahulu.
“Saya mahu habiskan tugas di sini (Malaysia) dahulu, insya-Allah.
“Insya-Allah kalau ada tawaran, saya akan terima tetapi tidak akan sesekali lupa dari mana saya datang,” katanya yang mempelajari aksen Inggeris melalui video YouTube sahaja.
Terdahulu, kefasihan Aqish bertutur dalam bahasa Inggeris disalah anggap segelintir individu sehingga ada yang berpendapat Aqish sengaja mahu menunjuk-nunjuk kehebatannya kepada umum.
Baginya, semua individu perlu mempelajari bahasa lain yang menjadi sebahagian daripada pengetahuan untuk digunakan pada masa depan. – KOSMO! ONLINE