PETALING JAYA — Jarang meluangkan masa bersama, pelakon Ezzanie Jasny mendedahkan hubungannya dengan penyanyi rap Noki tidak lagi seakrab dahulu.
Ujar Ezzanie atau nama lengkapnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 25, mereka juga sudah tidak berhubung selain lebih selesa membawa haluan masing-masing.
“Apa yang saya boleh katakan dia (Noki) pernah jadi kawan baik, tapi sekarang kami tidak lagi berhubung.
“Biarlah kami selesa begini. Kekal berkawan seperti biasa cuma tidaklah seakrab dulu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya punca kerenggangan, pelakon drama Layang-Layang Perkahwinan itu menegaskan tiada sebarang perselisihan faham, sebaliknya mereka sepakat membawa haluan masing-masing
“Sejujurnya, kami tidak lagi keluar bersama. Mungkin lebih selesa untuk fokus bawa haluan masing-masing.
“Sebelum ini pun seperti yang pernah saya katakan kami hanya berkawan.
“Saya pun tidak mahu komen pernah mengharap untuk rapat dalam hubungan serius atau tidak,” ujarnya pada majlis sidang media pelancaran kempen Raya Macam Dulu-Dulu TV3 Tonton hari ini.
Terdahulu, hubungan Ezzanie dan Noki mula menjadi perhatian ramai selepas mereka dilihat sering meluangkan masa berdua.
Malah selepas Noki pulang mengerjakan ibadah umrah baru-baru penyanyi itu turut menghadiahkan sehelai sejadah bersulam nama Ezzanie.
Bagaimanapun dalam temu bual sebelum ini Ezzanie dan Noki enggan mengesahkan mereka sedang bercinta. — KOSMO! ONLINE.