fbpx

K2

‘Belasah’ alun azan tak ikut tajwid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUKUM tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca al-Quran. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, adakah mengalunkan azan juga terikat dengan hukum tajwid? Bagaimana pula hukum azan yang tidak mengikut hukum tajwid? Terima kasih.

Jawapan: Hukum tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca al-Quran. Para fuqaha tidak menetapkan hukum tajwid khusus bagi alunan azan sepertimana al-Quran. Hukum menjaga hak-hak huruf seperti makhraj dan sifat huruf adalah sunat. Selain itu, wajib bagi muazin untuk menjaga lafaz azan supaya tidak mengubah makna.

Oleh yang demikian, menjaga kesempurnaan dalam mengalunkan azan adalah lebih dikhususkan kepada menjaga panjang dan pendek serta dari sudut melagukan azan tersebut.

Majoriti ulama berpandangan makruh hukumnya untuk sengaja memanjangkan (tamtit) dan melagukan (talhin) azan yang mana semua ini tidak dilarang dalam bacaan al-Quran.

Para fuqaha tidak meletakkan hukum tajwid yang khusus dalam melaungkan azan seperti penjagaan hukum tajwid ketika membaca al-Quran. Ketika membaca al-Quran, dituntut untuk memanjangkan huruf mad pada beberapa tempat seperti tempat yang mempunyai hukum mad ‘Arid li al-sukun. Namun, dalam alunan azan, makruh memadkan azan melebihi kadar ditetapkan.

Hukum ini berdasarkan kenyataan Imam Khatib al-Syirbini dalam karyanya: “Makruh memanjangkan azan iaitu memanjangkan mad dan melagu-lagukan lafaznya.” (Rujuk al-Mughni al-Muhtaj: 1/325)

Oleh yang demikian, seorang muazin atau bilal itu dituntut untuk memelihara hak-hak huruf pada lafaz azan seperti penjagaan makhraj dan sifat-sifat hurufnya.

Hal ini supaya azan yang dilafazkan itu dalam keadaan baik dan sempurna. Menurut Sheikh al-Tarmasi: “(Kesalahan) yang dilakukan oleh para muazin yang jahil ialah mereka tidak mengambil berat dalam menyebut hak-hak huruf dari segi makhraj dan sifat-sifatnya.” (Rujuk Hasyiah al-Tarmasi: 2/488)

Merujuk kepada kenyataan di atas, dapat difahami bahawa memelihara sifat huruf dalam azan merupakan satu tuntutan yang perlu dititikberatkan.

Tambah Sheikh al-Tarmasi, seseorang melaungkan azan hendaklah menjauhi beberapa kesalahan dalam azan yang membawa kepada perubahan makna seperti memanjangkan huruf hamzah pada kalimah asyhadu dan huruf ba’ pada kalimah akbar.

Menurut Ibn Hajar pula, seorang muazin perlu menghindari dari memanjangkan huruf alif pada kalimah Allah sepertimana dalam kenyataannya: “Antara kesalahan dilakukan oleh muazin adalah memanjangkan huruf alif pada kalimah Allah, al-solah dan al-falah kerana penambahan pada huruf mad dan lin ini melebihi kadar yang diucapkan oleh orang Arab merupakan satu kesalahan dan kesilapan.” (Rujuk al-Minhaj al-Qawim: 80)

Selain itu, makruh bagi mereka yang memanjangkan azan melebihi kadar harakat yang sepatutnya meskipun perbuatan tersebut tidak mengubah makna pada lafaz azan.

Antara kadar yang telah ditetapkan adalah tidak melebihi enam harakat mengikut pandangan muktamad. Oleh itu, jelaslah bahawa makruh bagi seorang muazin memanjangkan atau memadkan azan melebihi kadar harakat dibenarkan.

Kesimpulannya, hukum tajwid dalam mengalunkan azan berbeza dengan membaca al-Quran.

Para fuqaha tidak menetapkan hukum tajwid khusus bagi azan sepertimana al-Quran. Hukum menjaga hak-hak huruf seperti makhraj dan sifat huruf adalah sunat. Selain itu, wajib bagi muazin untuk menjaga lafaz azan supaya tidak mengubah makna.

Oleh yang demikian, kesempurnaan azan bergantung kepada sebutan huruf yang tepat dan tidak memadkan pada huruf mad serta tidak memanjangkan huruf mad melebihi kadar ditetapkan. Para fuqaha bersepakat bahawa makruh memanjangkan (tamtit) perkataan (memadkan lebih daripada kadarnya) di dalam azan dan melagukannnya. Namun, perkara ini diharuskan dalam bacaan al-Quran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI