KEMAMAN – Seramai lapan pekerja warga China yang memegang pas lawatan sosial diberkas kerana bekerja di sebuah lombong bijih besi di sini semalam.
Pengarah Imigresen Terengganu Azhar Abd. Hamid berkata, sewaktu ditahan, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 50 tahun sedang bekerja di lombong tersebut yang berkeluasan 40 hektar.
“Pemeriksaan mendapati lapan lelaki asing itu tidak memiliki permit kerja yang sah. Siasaran turut mendapati mereka memasuki negara ini sebagai pelancong dengan menggunakan pas lawatan sosial,” katanya.
Azhar memberitahu, selain lapan lelaki China tersebut, operasi penguatkuasaan turut menangkap 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.
Jelas beliau, turut dicekup seorang wanita Indonesia kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Majikan mereka iaitu pengusaha lombong bijih besi juga diberikan saman untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE