TAWAU – Sebanyak 45 rumah di Kampung Tanjung Batu, Jalan Tanjung Batu Logpond musnah dalam kebakaran petang semalam.
Kebakaran itu dikatakan bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke beberapa kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.31 petang.
Beliau berkata, seramai 50 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan dibantu Bomba Komuniti Kampung Titingan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran, tujuh pancutan dengan sumber air dari jentera, pili bomba dan air terbuka (laut).
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.31 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE